Sejarah operasi F-16_Fighting_Falcon

Pengguna pesawat F-16, pengguna utama dalam warna biru, pengguna kecil dalam warna biru muda, dan pesanan dicadang atau dibatalkan dalam warna kuning.

Israel

Israeli Air Force F-16A Netz 107 with 6.5 kill marks of other aircraft and one kill mark of an Iraqi nuclear reactor, a world record for an F-16[9]

Kejayaan pertama pertempuran udara ke udara bagi pesawat F-16 oleh Tentera Udara Israel (IAF) terjadi di Lembah Bekaa pada 28 April 1981, menentang sebuah helikopter Mi-8 milik Syria, yang mana dijatuhkan dengan menggunakan tembakan meriam.[10] Pada 7 Jun 1981, 8 buah pesawat F-16 Israel yang diiringi oleh pesawat F-15 melaksanakan Operasi Opera, operasi udara ke permukaan penting mereka. Serangan ini menyebabkan kerosakan teruk pada reaktor nuklear yang masih dalam pembinaan di Osirak, berdekatan Baghdad, Iraq. Ia dilakukan bagi mengelakkan kerajaan Saddam Hussein menggunakan reaktor ini untuk membuat senjata nuklear.[11]

Pada tahun berikutnya, semasa Perang Lubnan 1982 pesawat F-16 Israel menentang pesawat Tentera Udara Syria dalam satu pertempuran udara terbesar yang melibatkan pesawat jet, yang mana bermula pada 9 Jun dan berlangsung sehingga dua hari berikutnya. Pesawat F-16 milik Tentera Udara Israel berjaya memusnahkan 44 buah pesawat dalam pertempuran udara ke udara semasa konflik ini.[10][12]

Pada Januari 2000, Israel melengkapkan pembelian 102 buah pesawat "F-16I" baru dalam satu perjanjian yang bernilai AS$4.5 bilion.[13] F-16 juga digunakan dalam peranan serangan darat di sasaran-sasaran di Lubnan. F-16 Israel juga terlibat dalam Perang Lubnan 2006 dan serangan ke atas Gaza pada Disember 2008.[14] Semasa dan selepas Perang Lubnan 2006, F-16 Israel juga berjaya menembak jatuh dron UAV buatan Iran yang dilancarkan oleh Hezbollah, menggunakan peluru berpandu udara ke udara Rafael Python 5.[15][16]

Pakistan

Pesawat pejuang F-16 Pakistan

Semasa Perang Afghanistan-Soviet antara Mei 1986 hingga Januari 1989, pesawat F-16 milik Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya lapan buah pesawat yang menceroboh daripada Afghanistan. Tiga buah pesawat pertama (sebuah Su-22, sebuah kemungkinan Su-22, dan sebuah An-26) telah ditembak jatuh oleh dua orang juruterbang daripada Skuadron No. 9. Para juruterbang daripada Skuadron No. 14 pula berjaya memusnahkan lima buah pesawat penceroboh yang lain (dua buah Su-22, dua buah MiG-23, dan sebuah Su-25).[17] Kebanyakan pesawat ini dimusnahkan oleh peluru berpandu udara ke udara AIM-9 Sidewinder, dengan sekurang-kurangnya sebuah pesawat Su-22 dengan menggunakan tembakan meriam. Leftenan Penerbangan Khalid Mahmoud diberi kredit kerana berjaya memusnahkan 3 buah pesawat. Sebuah pesawat F-16 telah musnah semasa dalam pertempuran udara yang melibatkan dua buah F-16 dan 4 buah pesawat MiG-23 milik Tentera Udara Soviet pada 29 April 1987; juruterbang F-16 berjaya melenting keluar.[18]

Tentera Udara Pakistan menggunakan armada pesawat F-16 miliknya dalam pelbagai latihan dalaman dan dengan negara luar, seperti latihan "Indus Vipers" pada tahun 2008 yang dilakukan bersama-sama dengan Turki.[19] Sejak Mei 2009, Tentera Udara Pakistan juga menggunakan armada pesawat F-16 mereka untuk menyerang kedudukan militan dan menyokong Tentera Darat Pakistan di dalam operasi di utara dan barat Pakistan menentang Taliban.[20] Setakat November 2011, pesawat F-16 telah membuat 5,500 operasi penerbangan. Lebih daripada 80% daripada senjata yang digugurkan adalah bom panduan laser.[21]

Pesawat F-16 Pakistan juga membuat rondaan di sepanjang sempadan India-Pakistan semasa Konflik Kargil dan semasa ketegangan dengan India pada tahun 2008.[22]

Mesir

Pada 16 Februari 2015, pesawat F-16 Tentera Udara Mesir telah melakukan serangan udara ke atas simpanan senjata dan kem latihan milik tentera mujahidin di Libya bagi membalas dendam akan pembunuhan 21 orang pekerja oleh militan bertopeng yang dikaitkan dengan Islamic State (ISIS). Serangan udara ini membunuh 64 orang pejuang ISIS, termasuk 3 orang pemimpin di Derna dan pantai Sirte.[23]

Turki

Sebuah F-16D milik Tentera Udara Turki

Tentera Udara Turki memperoleh pesawat F-16 pertamanya pada tahun 1987. Armada F-16 ini juga telah terbabit di Bosnia dan Herzegovina dan Kosovo sejak tahun 1993 bagi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu.[24]

Pada 18 Jun 1992, sebuah pesawat Mirage F-1 milik Greece telah terhempas dalam satu pertempuran udara dengan sebuah pesawat F-16 Turki.[25][26][27] Pada 8 Februari 1995, sebuah pesawat F-16 Turki terhempas ke dalam Laut Aegean selepas dipintas oleh sebuah pesawat Mirage F1 Greece.[28][29]

Pada 8 Oktober 1996, 7 bulan selepas peningkatan ketegangan ke atas Imia sebuah pesawat Mirage 2000 Greece dilaporkan telah melepaskan peluru berpandu R.550 Magic II dan menjatuhkan sebuah pesawat F-16D Turki[30][31] di Laut Aegean. Juruterbang Turki ini terkorban, sementara pembantunya berjaya melenting keluar dan diselamatkan oleh tentera Greece.[27][32][33] Pada bulan Ogos 2012, selepas sebuah pesawat RF-4E terhempas di pantai Syria, Menteri Pertahanan Turki İsmet Yılmaz mengesahkan bahawa sebuah pesawat F-16D Turki telah ditembak jatuh oleh pesawat Mirage 2000 Greece dengan menggunakan peluru berpandu R.550 Magic II selepas menceroboh ruang udara Greek berdekatan pulau Chios.[34]

Pada 23 Mei 2006, dua buah pesawat F-16 Greece telah memintas sebuah pesawat peninjauan RF-4 dan dua buah pesawat pengiring F-16 milik Turki di luar pantai pulau Karpathos Greece, dalam kawasan Athens FIR. Seatu pertempuran udara berlaku di antara kedua-dua belah pihak, menyebabkan berlakunya perlanggaran di udara[35] di antara pesawat F-16 Turki dan Greece. Juruterbang Turki berjaya melenting keluar, akan tetapi juruterbang Greece telah terkorban di sebabkan kerosakan semasa perlanggaran.[36][37]

Turki menggunakan pesawat F-16 secara ekstensif dalam konflik dengan pemisah Kurds di wilayah Kurdish di Turki dan Iraq. Turki melancarkan serangan merentasi sempadannya buat pertama kali pada 16 Disember 2007, satu permulaan kepada serbuan Turki ke utara Iraq 2008, melibatkan 50 buah pesawat pejuang sebelum Operasi Matahari. Ini merupakan pertama kali Turki melakukan operasi pengeboman pada waktu malam berskala besar, dan juga merupakan operasi terbesar yang dilakukan oleh Tentera Udara Turki.[38]

Semasa Perang Saudara Syria, pesawat F-16 Turki telah ditugaskan untuk melindungi ruang udara di sempadan Syria. Selepas kejatuhan pesawat RF-4 pada Jun 2012 Turki telah mengubah peraturan tempurnya menentang pesawat Syria, mengakibatkan beberapa pesawat tempur Syria ditembak jatuh.[39] Sebuah pesawat F-16 milik Tentera Udara Turki telah menembak jatuh sebuah Sukhoi Su-24 milik Tentera Udara Rusia di sempadan Syria-Turki pada 24 November 2015.[40]

Lain-lain

Pesawat F-16IQ Tentera Udara Iraq

Tentera Udara Diraja Belanda, Tentera Udara Belgium, Tentera Udara Diraja Denmark, Tentera Udara Diraja Norway, Tentera Udara Pakistan, dan Tentera Udara Venezuela telah menerbangkan pesawat F-16 mereka dalam misi-misi tempur.[41][42] Sebuah pesawat MiG-29 telah ditembak jatuh oleh peswat F-16AM Belanda semasa Perang Kosovo pada tahun 1999.[43] Pesawat F-16 Belgiun dan Denmark juga terlibat dalam operasi bersama di Kosovo semasa perang.[43] Armada pesawat F-16 Belanda, Belgium, Denmark dan Norway juga diaturgerak semasa campurtangan di Libya dan Afghanistan pada tahun 2011.[44] Di Libya, F-16 milik Norway telah menggugurkan hampir 550 bom dan menerbangkan 596 misi,[45] dengan 17% daripadanya adalah misi serangan[46] termasuk pengeboman ibu pejabat Muammar Gaddafi.[47]

Rujukan

WikiPedia: F-16_Fighting_Falcon http://www.mil.be/fr/composante-air http://www.airforce-magazine.com/MagazineArchive/.... http://www.cnn.com/2015/11/24/middleeast/warplane-... http://www.codeonemagazine.com/archives/1991/artic... http://www.codeonemagazine.com/archives/1997/artic... http://www.dawn.com/2007/07/11/top11.htm http://www.defencetalk.com/norway-withdraws-fighte... http://www.flightglobal.com/articles/2007/12/27/22... http://www.fundinguniverse.com/company-histories/G... http://haber.gazetevatan.com/Ucaklar_nasil_vurdu_1...